Pesakit Orang Asli yang dimasukkan ke HHT sebelum ini. FOTO Baharom Bakar
Hanneeyzah Bariah Baharin


SEORANG lagi pesakit Orang Asli disahkan dijangkiti wabak campak semalam menjadikan keseluruhan 11 kes penduduk Orang Asli positif wabak itu di Terengganu setakat ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Mohd Jusoh berkata, pesakit membabitkan lelaki Orang Asli berusia 40 tahun dan dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk menerima rawatan.

“Pesakit mempunyai sejarah melawat rakannya yang sakit di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan selepas hari raya.

“Dengan pertambahan kes ini menjadikan keseluruhan 11 kes Orang Asli positif wabak campak di Terengganu membabitkan lapan pesakit lelaki dan tiga pesakit perempuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan pihaknya menerima 14 kes pesakit Orang Asli dijangkiti wabak campak, bagaimanapun hanya 11 disahkan positif, dua kes negatif manakala satu kes lagi masih menunggu keputusan.

Dr Mohd berkata, dua kes pesakit lelaki Orang Asli masing-masing berusia 26 dan 29 tahun yang dirawat di HHT kerana dijangkiti wabak itu sudah dibenarkan pulang semalam.

“Kedua-dua kes ini sudah dihantar ke Kampung Sungai Berua oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli dan diberi vitamin A sebelum dibenarkan pulang. Kedua-dua kes tidak diberi vaksin kerana sudah positif campak,” katanya.

Dalam pada itu Dr Mohd berkata, menerusi aktiviti survelan dan pengesanan kes secara aktif (ADC) di perkampungan Orang Asli di Hulu Terengganu, 15 lagi penduduk Orang Asli ditemui di Kampung Sungai Berua.

“Jumlah ini menjadikan keseluruhan penduduk Orang Asli yang disaring sehingga semalam adalah 477 orang.

“Bagaimanapun hasil ACD yang dilakukan tidak menemui mana-mana Orang Asli berkenaan yang mempunyai tanda dan gejala sakit,” katanya.

Berita berkaitan

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 6:19 PM