Noor Atiqah Sulaiman


SETIAUSAHA Politik Menteri Pengangkutan Datuk Mohamad Dahlan Maamor menafikan dakwaan Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang SeMalaysia (GTSM) bahawa beliau tidak mahu bertemu dengan kumpulan berkenaan.

Selain itu, Mohamad Dahlan turut menyangkal dakwaan GTSM yang mendakwa sekiranya memorandum diberikan kepadanya, akan ‘dibakul sampahkan’.

“Ia adalah perkara tidak benar dan satu fitnah, ia satu interpretasi yang belum berlaku. Saya difahamkan, ada lebih 60 laporan polis terhadap saya dilakukan di seluruh Malaysia.

“Ada beberapa perkara yang dinyatakan dalam laporan berkenaan tidak bertepatan dengan perkara semasa. Contohnya saya dikatakan tidak mahu bertemu dengan pemandu teksi. Itu tidak benar dan saya berasa ia adalah dakwaan palsu.

“Jika pemandu teksi kata susah untuk berjumpa dengan saya, boleh dilihat hari ini ramai yang datang menyokong saya. (Jika) ada masalah datang saja,” katanya kepada media selepas membuat laporan dan memberikan keterangan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, laporan polis yang dibuat itu untuk mempertahankan dirinya dan memberikan fakta berkaitan perhimpunan pemandu teksi diadakan di hadapan Pejabat Perdana Menteri pada 19 Jun lalu.


Mohamad Dahlan menunjukkan laporan polis selepas membuat laporan dan memberikan keterangan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya. Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Dalam pada itu, Mohamad Dahlan berkata, pihaknya pernah menghubungi GTSM bagi membincangkan beberapa perkara berbangkit tetapi beliau mendakwa bahawa pihak berkenaan tidak mahu berjumpa dengannya.

“Saya pernah berhubung dengannya, tetapi dia tak nak datang dan berjumpa dengan Setiausaha Politik. Saya kata nak buat macam mana, orang yang tak nak berjumpa dengan kita.

“Saya bersedia berjumpa dengan mereka tetapi dalam keadaan matang. Kita berbincang mengenai industri teksi, saya ingin mengembalikan kepercayaan masyarakat kepada industri teksi.

“Ia bukan satu kerja yang mudah. Kalau gagal buat macam ni, bagaimana kita nak bersaing dengan e-hailing, Grab dan sebagainya.

“Kita sentiasa menitikberatkan mengenai pemandu teksi, itu janji kita,” katanya.

Pada 19 Jun lalu, kira-kira 1,000 pemandu teksi di bawah GTSM berhimpun di hadapan Pejabat Perdana Menteri bagi menuntut hak sama rata dalam industri teksi negara.

Menggelarkan perhimpunan itu sebagai Perhimpunan Reformasi Teksi 2.0, mereka meminta campur tangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menyelesaikan masalah yang membelenggu industri teksi negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 6:34 PM