Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


“SAYA hanya mahu mendisiplinkan rakyat sehingga ada yang anggap saya sebagai diktator,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkongsi kisah hidupnya di majlis My Voice My Nation Malaysia 2019 berkata, beliau tidak kisah dengan gelaran itu.

Menurutnya, didikan dan disiplin bapanya dahulu banyak mempengaruhinya dalam mendisiplinkan kakitangan kerajaan dan rakyat negara ini sebaik saja dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Apa yang anda lihat saya hari ini adalah hasil disiplin bapa saya yang sangat tegas mendidik.

“Dengan slogan kepimpinan melalui teladan, apa yang saya harapkan daripada bawahan saya dan pegawai kerajaan, saya sendiri akan teliti dan lakukannya seterusnya mahu mereka lakukan apa yang saya sudah buat,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis penghargaan tokoh yang berjaya dalam bidang masing-masing termasuk Pengasas Kumpulan Air Asia Tan Sri Tony Fernandez di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dr Mahathir juga mahu generasi muda mengekalkan kebebasan dan kemerdekaan yang dikecapi negara hari ini.

Beliau berkata, generasi hari ini jangan membiarkan diri dan negara sekali lagi dihina serta dijajah oleh pihak asing.

“Saya percaya ini adalah tugas yang diamanahkan kepada anda generasi hari ini.

“Baik atau buruk, besar atau kecil, generasi saya sudah melakukannya walaupun hanya sedikit,” kata beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 11:08 PM
Dr Mahathir bersama isteri, Tun Siti Hasmah Mohd Ali serta Syed Saddiq hadir di majlis My Voice My Nation, di Axiata Arena, Bukit Jalil. Foto Aizuddin Saad.