CHE Zakaria (kiri) bersama pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) ke lokasi pembuangan cecair di Jalan Keluli 7, Pasir Gudang. FOTO ihsan Pejabat ADUN Permas
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


BELUM lagi isu pencemaran udara reda, penduduk Jalan Keluli 7, Pasir Gudang gempar apabila menemui cecair hijau dikeluarkan kilang ke longkang, hari ini.

Perkara itu didedahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh, selepas mendapat aduan penduduk berhubung penemuan cecair hijau seakan-akan minyak atau cat yang masih belum diketahui jenisnya.

Katanya, dia bersama pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) ke lokasi pembuangan cecair yang di dakwa dibuang ke dalam longkang itu pada jam 10 pagi semalam.

“Saya bersama pegawai terbabit meninjau lokasi berkenaan dan meluangkan masa selama sejam sebelum menemui cecair hijau seakan minyak dalam kuantiti banyak.

“Berdasarkan keadaan fizikal cecair itu, ia tidak tenggelam sebaliknya berada di permukaan longkang,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, beliau bimbang dengan penemuan terbaharu itu apatah lagi situasi udara di Pasir Gudang belum reda.

“Jadi tanda tanya apakah cecair dilepaskan kilang itu? Adakah ia cecair kimia atau sebaliknya?

“Mungkinkah ia membawa kemudaratan terhadap kesihatan penduduk sekitar dan persoalan itu masih bermain di fikiran,” katanya.

Menurutnya, JAS sudah mengambil sampel dari kawasan terbabit untuk siasatan.

Katanya, tidak sewajarnya cecair seperti itu dibuang dengan sewenang-wenangnya oleh pemilik kilang.

“Justeru, saya mengharapkan pihak industri lebih bertanggungjawab terhadap bahan pelepasan dikeluarkan dari kilang mereka.

“Saya juga mengharapkan JAS memperbanyakkan rondaan di kilang-kilang supaya pembuangan bahan berbahaya tidak berulang hingga boleh mencemarkan alam sekitar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 11:55 AM