WANITA terbabit. FOTO Ihsan JIM
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


SEORANG wanita Indonesia sanggup memanjat dinding setinggi lima meter dan bersembunyi di atas siling bagi mengelak dirinya diberkas Jabatan Imigresen (JIM) Pulau Pinang di sebuah rumah kedai di Permatang Tinggi, Bukit Mertajam, tengah malam tadi.

Namun usaha wanita yang juga pendatang asing tanpa izin (PATI) berkenaan gagal selepas dia diberkas susulan penemuan tapak kakinya di dinding premis.

Pengarah JIM negeri, Muhamad Husni Mahmud berkata, PATI wanita berkenaan memanjat dinding di premis berkenaan dengan laju sebelum bersembunyi di atas siling.

“Bagaimanapun dia gagal bersembunyi selepas kami berjaya mengesan suspek hasil kesan tapak kaki yang ditinggalkannya di dinding premis.

“Hasil pemeriksaan kami menemuinya duduk di atas siling kedai dalam keadaan ketakutan,” katanya.

Menurutnya, hasil serbuan di dua lokasi berkenaan JIM berjaya menahan 12 PATI terdiri daripada seorang lelaki dan enam wanita Indonesia; tiga lelaki dan seorang wanita Myanmar serta seorang lelaki Bangladesh.

Katanya, dalam serbuan itu juga, ada di antara PATI ini bersembunyi di dalam almari dan kawasan lain premis.

Menurutnya, pintu premis juga terpaksa dipecahkan apabila penghuninya enggan memberikan kerjasama.

Muhamad Husni berkata, kesemua mereka ditahan di Depoh Imigresen Juru untuk siasatan lanjut dan disiasat mengikut Akta Imigresen.

“Pemilik premis juga akan disiasat dan jika sabit kesalahan, mereka akan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM30,000 atau dipenjara tidak kurang daripada 12 bulan atau kedua-duanya untuk setiap PATI di dalam premis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 12:34 PM