BOT APMM terbabit gerakan SAR sekitar perairan Bachok. FOTO Ihsan APMM.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


SEORANG nelayan dikhuatiri lemas apabila bot miliknya ditemui kosong di kedudukan 14.9 batu nautika dari Pantai Kemasin, Bachok, 9 pagi semalam.

Terdahulu mangsa, Muhamad Afandi Mohamed, 29, berasal dari Kampung Tok Dosah, Perupok, Bachok, dikatakan keluar memukat bersendirian pada 4 pagi.

Pemangku Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, susulan maklumat diterima pihaknya menggerakkan dua aset iaitu Bot Maritim Penyelamat 7 dan Bot Maritim Kilat 28 ke perairan berkenaan.

“Saksi memaklumkan dia ternampak bot milik mangsa, namun lelaki itu gagal dikesan. Penemuan itu dimaklumkan kepada keluarga mangsa sebelum satu laporan polis dibuat,” katanya hari ini.

Beliau berkata, seramai 31 pegawai dan anggota menggunakan empat aset laut dan dua aset darat daripada pelbagai agensi terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Gerakan SAR diaktifkan 6.50 petang semalam dan membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan sukarelawan daripada persatuan nelayan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 2:06 PM