LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.com.my


POLIS mendapatkan perintah lanjutan reman terhadap tukang rumah warga Indonesia bagi membolehkan siasatan berhubung kejadian merosakkan kira-kira 20 kubur di Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin Pasir Putih, Bachang, di Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, reman empat hari yang diperoleh sebelum ini, akan berakhir hari ini.

“Reman disambung selama dua minggu,” katanya ringkas, ketika dihubungi.

Justeru, reman ke atas tukang rumah berusia 46 tahun itu dilanjutkan dari 28 Jun hingga 11 Julai ini.

Pada malam Jumaat lalu, penduduk Kampung Pasir Putih, Bachang, gempar selepas kira-kira 20 kubur di tanah perkuburan terbabit dirosakkan, batu nisannya dipecahkan dan dicabut selain dua kubur dibakar individu tidak bertanggungjawab.

Kedudukan tanah perkuburan seluas 0.8 hektar (2 ekar) yang tidak berpagar serta tidak dilengkapi kamera litar tertutup itu, agak menyulitkan dan memerlukan saksi tampil membantu siasatan.

Tanah perkuburan terbabit mempunyai dua penjaga, namun kedua-dua penjaga tidak berada di lokasi ketika kejadian berlaku.

Susulan daripada itu, Ahad lalu, polis menahan seorang lelaki warga Indonesia di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu, Bachang, kira-kira jam 5 petang sebelum direman Isnin lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Berita berkaitan

Rosakkan kubur: Warga Indonesia direman [METROTV]

Apa motif kau rosak, bakar kubur?

JAIM mohon bantuan orang ramai

Kerja siapa rosakkan kubur? [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 2:44 PM