AZAHAR menunjukkan perut anaknya, Nur Fathiah Najwa yang besar kerana mengalami pembesaran hati dan limpa disebabkan jangkitan kuman. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
AZAHAR menunjukkan perut anaknya, Nur Fathiah Najwa yang besar kerana mengalami pembesaran hati dan limpa disebabkan jangkitan kuman. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


“KAKAK tak boleh bermain, kakak sakit je... bila kakak nak sembuh,” tanya adik Nur Fathiah Najwa Azahar, 6, yang mengalami masalah pembesaran hati dan limpa yang disebabkan oleh jangkitan kuman Ebstein Barr Virus.

Hati ibu bapa mana yang tahan mendengar rengekan anak kecil mereka setiap hari yang sering mengalami demam, batuk dan selesema sehingga menyebabkan kesihatannya terganggu.

Jangkitan itu menyebabkan kadar kepekatan darah merah (Hb) dan platelet Nur Fathiah turun di bawah paras normal menyebabkan murid prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pantai Remis itu memerlukan rawatan susulan di Hospital Seri Manjung (HSM), Seri Manjung setiap bulan.

Menurut bapanya, Azahar Azizi, 45, Nur Fathiah Najwa tidak boleh terlalu aktif dan bermain seperti kanak-kanak sebayanya kerana mudah diserang penyakit, malah tangan kanannya juga lemah kerana masalah saraf.

Katanya, dia dimaklumkan anaknya itu ada masalah hati dan limpa ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik tahun lalu sebelum membawa Nur Fathiah Najwa ke HSM untuk rawatan lanjut pada 31 Mac lalu.

“Sebelum ini, ketika Nur Fathiah Najwa berusia empat tahun kami sudah menyedari perutnya kembung, namun menyangka ia disebabkan angin jadi kami membawanya berubat secara tradisional,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jalan Haji Ali, Pantai Remis di Manjung, hari ini.

AZAHAR bersama Nur Fathiah Najwa. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
AZAHAR bersama Nur Fathiah Najwa. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Azahar berkata, anak kedua dari tiga beradik itu kini menjalani rawatan susulan di HSM setiap bulan dan dia akan meminta bantuan jiran dengan membayar duit minyak untuk membawa mereka ke hospital yang jaraknya lebih 50 kilometer dari rumah kerana dia tiada kereta.

“Walaupun lega kerana ujian yang dijalankan menunjukkan bukan leukemia atau kanser darah, namun kami masih risau kerana hati serta limpanya boleh mengecil dan membesar, malah dia juga kurang darah merah,” katanya.

Menurutnya, dengan pendapatannya sebagai nelayan yang tidak menentu dia terpaksa berjimat cermat setiap bulan dan mengutamakan kos berulang-alik ke hopsital untuk rawatan susulan anaknya itu.

“Saya tiada lesen serta tidak tahu memandu kereta dan kami hanya ada motosikal sahaja, namun demi kasih pada anak saya tak sanggup lihat dia membonceng motosikal dalam keadaan begitu, malah dia masih kecil lagi.

“Anggaran gaji bulanan saya hanya sekitar RM600 sahaja dan saya berkerja atas bot majikan dengan kurang dari 20 hari keluar menangkap udang kerana mengikut keadaan laut tetapi susah macam mana sekalipun saya akan usaha juga untuk anak,” katanya.

Sementara itu, ibunya Norishah Abu Bakar, 41, berkata, mereka sudah memohon bantuan untuk Nur Fathiah Najwa kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada April lalu dan berharap permohonan itu diluluskan kerana dapat meringankan beban mereka sekeluarga.

“Kami memperuntukkan RM150 sebulan untuk kos rawatan dan perjalanan ke hospital, mungkin bagi orang lain ia tidak besar tetapi kami tidak mampu dengan pendapatan suami yang tidak menentu.

“Sejak sakit anak menjadi semakin sensitif, malah sering bertanya bila dia akan baik daripada sakit, boleh bermain dan bersekolah kerana dia kerap tidak bersekolah sebab selalu demam dan itu yang membuatkan saya sedih,” katanya yang tidak berkerja.

Bagi yang ingin membantu boleh menghubungi Azahar di talian 011-3636 0559.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 4:45 PM