Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@hmetro.com.my


Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan 15 Julai ini untuk keputusan representasi Penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun bagi menggugurkan kesnya yang didakwa membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta.

Hakim Azman Ahmad menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya belum menerima keputusan representasi daripada Peguam Negara.

Mohd Ashrof berkata, prosiding hari ini sepatutnya untuk mendengar keputusan representasi namun pihaknya memohon tarikh berikutan ia belum diperolehi.

Perkara itu disahkan peguam, Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mohd Hafarizam.

Sementara itu, ketika ditemui media diluar mahkamah, Mohd Ashrof berkata, representasi difailkan peguam bela pada 5 Mei lalu bagi membolehkan pertuduhan diteliti dan dikaji semula.

Pada 21 Februari lalu, Mohd Hafarizam, 47, mengaku tidak bersalah membabitkan diri secara langsung dalam dua transaksi hasil aktiviti haram dengan memasukkan dua keping cek AmIslamic Bank Berhad berjumlah RM11.5 juta milik Mohd Najib Razak ke dalam ‘client account’ syarikat guaman miliknya, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM) di CIMB Bank Berhad.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan PWTC, Suite 1, Level 5, Menara Datuk Onn, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur antara 16 April dan 4 November 2014.

Mohd Hafarizam turut didakwa membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil aktiviti haram dengan memasukkan sekeping cek AmIslamic Bank Berhad berjumlah RM3.5 juta milik Najib ke dalam ‘Client Account’ syarikat miliknya, di tempat sama, pada 12 Februari 2015.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 8:59 PM