PATI yang bekerja secara haram di sebuah gudang alat ganti kenderaan di Taman City, ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur dalam operasi bermula 11 pagi, hari ini. FOTO ihsan JIM.
Mohd Azam Shah Yaacob


SERAMAI 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja secara haram di sebuah gudang alat ganti kenderaan di Taman City, ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur dalam operasi bermula 11 pagi, hari ini.
Malah, kerana terkejut melihat kehadiran pihak berkuasa secara tiba-tiba, ada antara PATI berkenaan bertindak memanjat pagar zink dan lari ke dalam belukar berhampiran menyebabkan ada yang cedera ringan.

Pengarah JIM Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, serbuan di kawasan yang terletak agak terpencil dan dikuasai warga asing itu dijalankan berdasarkan aduan orang ramai.

Katanya, kawasan itu bukan saja menjadi tempat warga asing seperti dari Pakistan dan Bangladesh bekerja secara haram, malah turut dihuni warga Afrika.

“Serbuan dijalankan dalam dua operasi berbeza iaitu Ops Mahir dan Ops Kutip pada 11 pagi hingga 2 petang dan Ops Niaga pada 2.30 hingga 4.30 petang bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Dalam serbuan itu, seramai 48 warga asing diperiksa dan 31 daripadanya tidak memiliki sebarang permit atau dokumen perjalanan sah,” katanya.

Beliau berkata, semua PATI ditahan berusia 25 tahun hingga 40 tahun.

Menurutnya, mereka membabitkan 25 warga Pakistan, tiga warga Nigeria bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dan masing-masing seorang warga Bangladesh dan Ghana.

“Mereka kini ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas serta permit kerja.

“Selain itu ada yang tinggal melebihi tempoh masa dan ditahan mengikut Seksyen 15(1k(c) Akta Imigresen (Akta 150) dan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 11:56 PM