Gambar hiasan
Hidayatul Akmal Ahmad


POLIS berjaya menyelesaikan 10 kes samun bersenjata di sekitar Sungai Buloh, Gombak dan Petaling Jaya dengan penahanan lima lelaki di lima lokasi berasingan sejak 28 Mei lalu.

Kelima-limanya berusia antara 22 hingga 37 tahun dan tiga daripadanya ada rekod jenayah lampau.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa’aton Abu Bakar berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh menahan suspek pertama pada 28 Mei lalu dengan rampasan sebuah motosikal jenis Yamaha Y150, Perodua Myvi dan telefon bimbit di Jalan Kampung Baru, Sungai Buloh.

Menurutnya, susulan itu, pada 17 Jun lalu, seorang lagi suspek ditahan di Jalan Kampung Baru Sungai Buloh.

“Soal siasat suspek kedua ini membawa tangkapan ketua kumpulan terbabit di Bandar Baru Sungai Buloh, dua hari berikutnya.

“Suspek seterusnya ditahan dalam serbuan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dengan rampasan pistol jenis Ruger SR9c buatan Amerika Syarikat (AS) dengan satu kelopak dan 16 butir peluru hidup pada 23 Jun lalu.

“Tangkapan terakhir iaitu seorang lelaki pada 27 Jun lalu dibuat di Kampung Seri Indah, Sungai Buloh,” katanya pada sidang akhbar di IPD Sungai Buloh hari ini.

Katanya, kumpulan yang aktif sejak awal tahun lalu itu mensasarkan kedai runcit, stesen minyak, pasar raya dan samun tepi jalan.

“Sebuah motosikal dan Myvi yang menggunakan plat kereta palsu turut dirampas polis,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971.

Kelima-lima suspek direman sehingga 3 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 12:41 PM