Siraj Mohd Zaini


AKIBAT tindakan pihak tidak bertanggungjawab, anggota bomba terpaksa bekerja lebih 24 jam untuk memadamkan kebakaran di kawasan tapak pelupusan sampah haram di Kampung Rantau Panjang, Klang yang terbakar semalam.

Kebakaran itu membabitkan kawasan seluas kira-kira 1.2 hektar di atas tanah milik persendirian dan dijadikan tapak pelupusan sampah bagi bahan kitar semula serta penebat wayar yang dikisar.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan 8.20 pagi sebelum pasukannya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang dikejarkan ke lokasi.

Katanya, kebakaran itu berlaku di sebahagian kawasan pelupusan sampah berkeluasan kira-kira 4 hektar.

“Kebakaran berlaku di tapak pelupusan sampah di Jalan Sungai Saim Kampung Rantau Panjang.

“Ia dipadamkan sepasukan anggota dari BBP Sungai Pinang dengan dibantu anggota dari BBP Pelabuhan Klang,” katanya.

Hafisham berkata, selain anggota bomba, pemahaman turut dibantu Polis Diraja Malaysia, pasukan PANTAS Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan pasukan bomba pelabuhan Northport.

Sementara itu, Ketua JBPM Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, sehingga 2 petang hari ini, anggota bomba masih bertungkus-lumus memadamkan kebakaran terbabit dengan bantuan pelbagai agensi lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 3:47 PM
Anggota bomba memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah haram Kampung Rantau Panjang, Klang. FOTO Faiz Anuar