Laporan sebelum ini.
Hanneeyzah Bariah Baharin


SEORANG lagi Orang Asli dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) menjadikan jumlah pesakit yang dirawat di hospital itu meningkat kepada 15 orang setakat ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) Dr Mohd Jusoh berkata, kes terbaru itu membabitkan seorang pesakit Orang Asli perempuan berusia 50 tahun.

“Pesakit berasal dari Sungai Berua itu mempunyai sejarah kontak dengan dua lagi pesakit Orang Asli yang disahkan positif wabak campak sebelum ini.

“Pesakit datang sendiri ke HHT hari ini, selepas mengalami gejala demam, batuk, selsema dan kurang selera makan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sejak 12 Jun lalu, HHT menerima kemasukan seramai 14 pesakit Orang Asli berkaitan dengan demam campak dan 11 daripadanya disahkan positif wabak itu, manakala dua lagi negatif dan seorang lagi masih menunggu keputusan ujian.

Dr Mohd berkata, sehingga kini tiga lagi pesakit iaitu seorang lelaki dan dua perempuan masih menerima rawatan di HHT, manakala 12 lagi sudah dibenarkan pulang.

Beliau berkata, menerusi aktiviti tinjauan dan pengesanan kes secara aktif (ADC) di perkampungan Orang Asli di Hulu Terengganu, seramai 11 lagi penduduk Orang Asli ditemui di Kampung Sungai Berua.

“Jumlah ini menjadikan keseluruhan penduduk Orang Asli yang disaring sehingga semalam adalah seramai 493 orang.

“Bagaimanapun, hasil ACD yang dilakukan tidak menemui mana-mana Orang Asli berkenaan yang mempunyai tanda dan gejala sakit,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 9:23 PM