ANGGOTA bomba dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa. FOTO ihsan bomba
Norasikin Daineh


PELANCONG warga Korea Selatan dikhuatiri lemas selepas mandi di laut bersama dua rakan di pusat peranginan di Karambunai, Kota Kinabalu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa, Kyeong Young An, 18, sehingga kini belum ditemui dan dipercayai hanyut sehingga ke tengah laut.

Penolong Kanan Penguasa Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 4.17 petang.

“Kejadian membabitkan seorang pelancong lelaki warga Korea dipercayai hanyut ke tengah laut ketika sedang mandi bersama dua lagi rakannya.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dilakukan semalam namun ditangguh pada 7.06 malam,” katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu, hari ini.


ANGGOTA bomba dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa. FOTO ihsan bomba

Katanya lagi, operasi kemudian disambung semula 7 pagi tadi dan membabitkan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu dengan dibantu Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA).

“Selain itu, operasi mencari dan menyelamat mangsa juga turut dibantu oleh pihak polis danAgensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Jarak pencarian kali ini sejauh kira-kira 25 hingga 30 meter dari mangsa dipercayai tenggalam dan sehingga kini mangsa belum lagi ditemui,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 4:03 PM