ANTARA pelacur warga asing yang ditahan D7 Bukit Aman di di Dataran mentari, malam tadi.
Mohd Azam Shah Yaacob


POLIS menumpaskan empat sindiket pelacuran di Dataran Mentari, Petaling Jaya yang menawarkan khidmat seks wanita warga asing dengan bayaran serendah RM170 sejam.

Dalam serbuan Op Noda dijalankan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman pada jam 11 malam tadi, seramai 34 wanita warga asing serta lima lelaki tempatan ditahan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap D7 Bukit Aman Datuk Rohaimi Md Isa berkata, serbuan dijalankan di empat premis membabitkan dua pusat urut, selain sebuah hotel dan pusat hiburan.

Katanya, wanita berusia antara 19 hingga 41 tahun dan lima lelaki tempatan itu dipercayai bekerja dengan sindiket pelacuran.

“Ia membabitkan 24 wanita Vietnam, enam wanita Thailand dan empat wanita Indonesia.

“Sindiket itu beroperasi setiap hari bermula jam 12 tengah hari sehingga 4 pagi dengan bayaran RM170 bagi pakej lengkap layanan seks kepada pelanggan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, selain menahan wanita warga asing dan pekerja sindiket berkenaan, polis turut menahan enam pelanggan untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

Katanya, polis turut merampas beberapa peralatan digunakan sindiket pelacuran itu seperti buku catatan kerja harian, kupon RM20, botol minyak urut, kondom dan sejumlah wang tunai.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan (KK) kerana terbabit kegiatan persundalan selain Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat Tempat Hiburan (EHDTTH).

“Malah, wanita warga asing berkenaan juga turut melakukan pelbagai kesalahan imigresen mengikut Seksyen 39b Peraturan Imigresen, Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen,” katanya.

Rohaimi berkata, serbuan itu adalah sebahagian tindakan polis bagi memerangi sindiket pelacuran di negara ini membabitkan kegiatan jenayah terancang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 1:32 PM