ANGGOTA bomba membawa keluar empat penuntut universiti swasta yang sesat ketika mencari lokasi perkelahan di Taman Rimba Kanching, Rawang, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Nurul Hidayah Bahaudin


HASRAT empat penuntut universiti swasta untuk berkelah terbantut selepas sesat di Taman Rimba Kanching, Rawang, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang daripada mangsa pada 9.53 pagi hari ini.

“Seramai 14 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dikerahkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, kami dimaklumkan empat mangsa termasuk seorang wanita berusia antara 19 hingga 30 tahun itu tersesat di dalam kawasan taman rimba berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, bomba memulakan pencarian di kawasan terbabit hampir tiga jam sebelum menemui semua mangsa dalam keadaan selamat.

Menurutnya, mangsa masuk ke kawasan itu pada 7 pagi untuk berkelah, namun tersesat ketika mencari lokasi perkelahan.

“Selepas beberapa jam tidak menemui lokasi perkelahan dan jalan keluar, seorang daripada mangsa menghubungi bomba untuk membawa mereka keluar dari kawasan terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 11:13 PM