KEADAAN kawasan tapak pelupusan sampah haram di Jalan Sungai Saim, Kampung Rantau Panjang, Klang yang terbakar.
Siraj Mohd Zaini


PELABUHAN KLANG: Kerajaan Selangor dalam usaha mengenalpasti individu yang bertanggungjawab melakukan kebakaran di tapak pelupusan sampah haram di Jalan Sungai Saim, Kampung Rantau Panjang, di sini, baru-baru ini yang memusnahkan kira-kira 1.2 hektar kawasan.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata, pihaknya percaya kebakaran itu dilakukan individu yang menceroboh tanah gambut di kawasan itu.

“Buat masa ini, pasukan bomba masih berada di situ untuk memastikan api dipadamkan sepenuhnya. Kita sedang dalam proses mengenalpasti individu terbabit selain melihat sekiranya terdapat penglibatan orang asing yang meneroka kawasan tanah gambut itu.

“Api sukar dipadamkan kerana kawasan ini merupakan tanah gambut yang menyebabkan ia cepat merebak selain faktor cuaca agak panas menyukarkan proses pemadaman sepenuhnya,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu, beliau hadir ke majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Parlimen Klang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang di sini yang turut dihadiri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, pihaknya kini sedang menunggu laporan sepenuhnya berkaitan kebakaran di kawasan tersebut daripada Jawatankuasa Bencana di peringkat negeri.

“Laporan berhubung kebakaran akan diperolehi dalam masa terdekat dan kita akan mengetahui pemilik tanah terbabit. Namun, maklumat awal diterima terdapat ramai pemilik tetapi kita akan menyiasatnya.

“Selain memadamkan kebakaran, tanggungjawab kita ialah menyelesaikan isu pemilikan tanah dan penerokaan tanpa kawalan yang pastinya melibatkan pelbagai agensi,” katanya.

Khamis lalu, kebakaran di tapak pelupusan sampah haram di Jalan Sungai Saim memusnahkan kira-kira 1.2 hektar mula dikesan pada 8 pagi itu dilakukan individu yang tidak bertanggungjawab.

Sehingga semalam 70 peratus kawasan kebakaran itu berjaya dipadamkan.

Ini berikutan kerja pemadaman menghadapi sedikit kesukaran berikutan timbunan sampah yang dalam iaitu sekitar 2.4 meter dan berada di kawasan paya bakau selain perlu menggunakan jengkaut untuk menggali punca api di bawah timbunan sampah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 6:00 AM