X
PEKERJA kilang dihadapkan atas lima pertuduhan termasuk mencederakan anggota polis dan menghalang pegawai polis menjalankan tugas. FOTO Siraj Mohd Zaini
PEKERJA kilang dihadapkan atas lima pertuduhan termasuk mencederakan anggota polis dan menghalang pegawai polis menjalankan tugas. FOTO Siraj Mohd Zaini
Siraj Mohd Zaini


PEKERJA kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini, atas lima pertuduhan termasuk mencederakan anggota polis dan menghalang pegawai polis menjalankan tugas ketika sekatan jalan raya pada 24 Jun lalu.

Tertuduh, Zulhilmi Mohd Ariffin, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Rini Triany Muhamad Ali.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan kepada Koperal Hasnol Abd Ghani dan Koperal Ahmad Haizaki Salimon dengan memandu kereta Proton Gen 2 untuk melarikan diri daripada sekatan jalan raya oleh pihak polis.

Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan ketiga mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, dia didakwa dengan sengaja menghalang seorang Inspektor polis yang juga penjawat awam dalam menjalankan tugasnya melakukan pemeriksaan ke atasnya dengan melarikan diri daripada sekatan jalan raya.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan bagi pertuduhan pertama hingga ketiga dilakukan di Jalan Persiaran Selangor, Seksyen 15, Shah Alam, 10.30 pagi, 24 Jun lalu.

Tertuduh juga didakwa mengikut Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana tidak membawa kad pengenalan dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda maksimum RM20,000.

Kesalahan itu dilakukan di Bulatan Andalas, Seksyen 17, Shah Alam, pada masa dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan kelima, tertuduh didakwa memasukkan dadah jenis methamphetamine dan THC (tetrahydrocannabinol) ke dalam tubuh badannya.

Kesalahan itu dilakukan di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira jam 5.15 petang pada hari sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azamuddin Abdul Rahman manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Zufa Elias.

Terdahulu, Khairul Azamuddin memohon agar tertuduh diikat jamin sebanyak RM29,000 bagi semua pertuduhan serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis sehingga prosiding kes selesai.

Bagaimanapun, Muhammad Zufa memohon agar tertuduh diberikan ikat jamin minimum kerana bekerja kilang dengan pendapatan RM1,500 selain perlu menanggung ibu bapa serta adik beradiknya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dan kes disebut semula 31 Julai ini selain perlu melaporkan diri ke balai polis setiap dua minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 2:54 PM