Khairul Najib Asarulah Khan


PELAKSANAAN duti eksais ke atas minuman bergula bermula hari ini menyebabkan harga produk itu naik antara 20 sen hingga 70 sen.

Tinjauan Harian Metro di beberapa premis perniagaan sekitar Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam dan Bangsar mendapati, peniaga mula melakukan penyelarasan harga.

Antara minuman yang berlaku kenaikan adalah air berkarbonat, kopi, minuman tenusu, jus buah-buahan dan minuman tin serta kotak.

Pekerja kedai 24 jam, Nur Ain Kamaruddin, 24, memaklumkan hanya mengetahui kenaikan harga minuman bergula itu selepas dimaklumkan pengguna.

Katanya, ketika mahu membayar, ada pelanggan terkejut dengan perbezaan harga dipaparkan di rak jualan dan hasil imbasan kod bar di kaunter pembayaran.

“Selepas saya memeriksa melalui sistem, barulah mengetahui hampir 20 jenis minuman sama ada dalam bungkusan botol, tin atau kotak berlaku kenaikan harga.


Mohd Hairul Anuar (dua dari kanan) bersama Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDNHEP Johor Zubir Hamsa (kanan) serta pegawainya menunjukkan rampasan gula-gula Ghost Smoke yang dirampas dalam operasi yang dijalankan di sebuah syarikat pemborong makanan ringan di Masai, Johor Bahru. Foto Zain Ahmed

“Pihak pengurusan sudah menyelaraskan harga baru melalui sistem. Saya bersama rakan sekerja dalam proses menyemak dan memperbetulkan kadar harga berkenaan,” katanya ketika ditemui di Pantai Dalam, hari ini.

Peniaga kedai runcit, Syuhada Quat, 45, berkata akan menaikkan harga minuman jika harga baru terlalu tinggi.

“Kalau kenaikan harga tidak banyak perbezaan, saya akan kekalkan seperti harga lama.

“Majoriti pengunjung premis saya adalah pelajar dan penduduk yang berpendapatan rendah. Saya tidak mahu perubahan harga menyebabkan kurangnya kuasa membeli.

“Buat masa ini, saya masih menjual minuman stok lama dan belum memeriksa harga baru,” katanya ketika ditemui di kedainya di Taman Bukit Angkasa.

Sementara itu, pekerja bengkel, Muhamad Amiruddin Mohamed Saadun, 25, berkata setiap hari dia minum dua tin air kopi.

“Jika kenaikan harga terlalu tinggi, saya terpaksa memilih produk yang lebih murah,” katanya.

Sebelum ini, pelaksanaan duti eksais ke atas minuman bergula sepatutnya berkuat kuasa 1 April lalu, namun ditangguhkan sehingga 1 Julai (hari ini).

Penangguhan itu dibuat selepas kerajaan menerima maklum balas dan pandangan pihak industri pengeluar minuman bagi memberi tempoh masa untuk mereka membuat persediaan diperlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 6:37 PM