Chef Danish dan ciapan yang dimuat naik di twitter mengenai perkongsian guru SK Kuala Geris selepas menerima kiriman sumbangannya.
Redzuan Muharam


”SAYA dan suami bersyukur kerana dikurniakan seorang anak yang begitu prihatin dengan golongan kurang bernasib baik dan akan terus menyokong dengan kerja amal dilakukannya,” kata Noorliza Abd Rahman, 42.

Dia mengulas mengenai inisiatif anak tunggalnya, Danish Harraz Abd Hafiz, 12, menghulurkan sumbangan makanan, minuman dan permainan kepada 50 murid asnaf prasekolah, Sekolah Kebangsaan (SK ) Kuala Geris, Dabong di Kuala Krai, Kelantan.

Semua makanan dan barangan yang dihantar menerusi kiriman pos itu selamat sampai di sekolah berkenaan pada Khamis lalu sebelum diagihkan kepada murid terbabit ketika sambutan Hari Raya Prasekolah SK Kuala Geris pagi semalam.

Bercerita lanjut, Noorliza berkata, Danish mula serius dengan aktiviti sukarelawan sejak berusia lapan tahun sebelum meneruskan inisiatifnya sendiri pada tahun berikutnya.

Menurut Noorliza, semua barangan sumbangan itu dibeli menggunakan wang hasil pendapatan Danish yang menjalankan perniagaan menjual biskut dan kek secara sambilan sejak berusia tujuh tahun.

“Seawal usia lapan tahun, Danish sudah menunjukkan minatnya dalam aktiviti sukarelawan bermula dengan menjadi seorang kru bagi pertubuhan Soup Kitchen yang aktif memberi makan kepada gelandangan di sekitar ibu kota.

“Dia kemudiannya menubuhkan pasukan sukarelawannya sendiri yang diberi nama #DanishLoveAndSupportCrew dengan tujuan mengajak sesiapa yang berminat untuk turut serta membantu golongan kurang bernasib baik.

”Sejak ia ditubuhkan, pelbagai aktiviti diadakan antaranya lawatan ke hospital bagi menceriakan pesakit barah serta penyampaian sumbangan beg dan alat tulis sempena program kembali ke sekolah,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Noorliza, pemilihan penerima sumbangan dibuat dengan teliti dengan meletakkan golongan yang benar-benar memerlukan sebagai keutamaan.

Katanya, selepas mengenal pasti sasaran penerima, dia dan suaminya, Abd Hafiz Abd Halim, 40, akan membantu Danish membeli barangan keperluan dan membungkus sebelum pos atau diagihkan ke lokasi tertentu.

“Sejak menganjurkan program kembali ke sekolah, Danish mempunyai kenalan dalam kalangan guru dan mereka yang akan menyalurkan maklumat terutama berkaitan murid yang layak menerima bantuan.

”Saya dan suami akan membantu Danish menyemak latar belakang penerima terutama yang maklumatnya diperoleh dari media sosial sebelum menyenaraikan barangan yang patut dibeli untuk disumbangkan.

“Danish adalah seorang yang bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara dan dia akan memastikan setiap barangan sumbangan diagihkan sama rata kepada penerima,” katanya,

Semalam, Danish memuat naik ciapan di twitter yang didedikasikan kepada guru SK Kuala Geris kerana memberinya peluang untuk membantu murid sekolah terbabit.

Terdahulu, Danish berkongsi gambar posmen menyerahkan barangan kirimannya kepada guru sekolah terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 1:28 AM