Anggota polis memeriksa beberapa wanita selepas melakukan serbuan di Jalan Puteri dan Bandar Puchong Jaya, malam tadi. Foto Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


EMPAT premis di Jalan Puteri dan Bandar Puchong Jaya di Puchong diserbu polis malam tadi, selepas dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran.

Dalam serbuan bermula 10.30 malam itu, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menahan 22 wanita warga asing dari China, Vietnam, Indonesia dan Thailand yang dipercayai melakukan kegiatan terbabit.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman Datuk Rohaimi Md Isa berkata, pihaknya turut menahan lima lelaki tempatan yang disyaki bekerja sebagai penjaga dan seorang pekerja lelaki warga Myanmar berusia antara 21 hingga 51 tahun.

“Kami membuat serbuan terhadap tiga premis di Jalan Puteri dengan serbuan pertama membabitkan sebuah pusat kesihatan yang turut menawarkan pakej khidmat seks dengan harga RM60.

“Dalam serbuan kedua pula, sebuah premis yang menawarkan khidmat seks lengkap dengan bayaran RM170 bagi sekali perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rohaimi berkata, serbuan ketiga membabitkan sebuah pusat urut yang menawarkan RM160 bagi setiap khidmat seks, manakala premis keempat yang diserbu di Bandar Puchong Jaya pula menawarkan harga RM220 bagi setiap perkhidmatan seks.

Menurutnya, dua dari empat premis berkenaan masing-masing menggunakan pintu besi dan pintu kaca bermagnet untuk menyukarkan polis masuk bagi melakukan pemeriksaan.

“Serbuan di premis keempat berkenaan mendapati tingkat bawah dijadikan sebagai spa, manakala tingkat satu dijadikan sebagai lokasi menjalankan kegiatan pelacuran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 2:13 AM