Skip this ad x
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


“TAK sangka itu anak saya," luah Mohd Zaki Abdullah, 45, bapa kepada dua kanak-kanak perempuan yang ditemui lemas dalam parit di Kampung Kuala Bagan Tiang di Parit Buntar, lewat petang semalam.

Difahamkan, dua beradik itu dipercayai terjatuh ke dalam parit berkenaan ketika bermain bersama sebelum mayat seorang daripadanya ditemui terapung oleh penduduk kampung.

Menurut Mohd Zaki, sebaik pulang selepas selesai menjalani perubatan Islam di Parit Buntar kira-kira 7 malam didapati anak keempatnya, Nor Anisa Najwa, 10, dan anak kelima, Nor Ayuni Najatul, 8, tiada di rumah.

"Saya mula mengesyaki sesuatu tidak kena dan segera ke lokasi untuk lebih kepastian kerana mendapat berita mengenai penemuan mayat seorang kanak-kanak di kawasan parit berhampiran rumah.

"Sebaik melihat mayat kanak-kanak itu adalah anak saya, terus saya terjatuh dan hampir pitam," katanya ditemui di pekarangan Hospital Parit Buntar.

Menurutnya, berdasarkan penemuan dua pasang selipar ditinggalkan berhampiran parit di lokasi, penduduk berpakat mencari di parit berhampiran lokasi penemuan Nor Anisa sebelum menemui Nor Ayuni.

Mohd Zaki berkata, kedua-dua jenazah anaknya akan dikebumikan pagi esok di Tanah Perkuburan Masjid Bagan Tiang.

Seorang penduduk kampung yang enggan dikenali ketika ditemui berkata, kelibat dua beradik itu masih kelihatan selepas tamat sesi persekolahan fardu ain petang semalam.

"Tingkah laku mereka yang menaiki basikal ketika itu juga agak pelik apabila tanpa henti melambai-lambai penduduk kampung yang berada di gerai berhampiran lokasi mereka ditemui lemas.

"Mungkin itu petanda mereka akan pergi selama-lamanya," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian Deputi Superintendan Sanusi Salleh yang turut hadir di lokasi memaklumkan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu.

"Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk proses dibedah siasat," katanya.

Berita berkaitan:

  • Dua kanak-kanak lemas dalam parit
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 12:42 AM
    Laporan awal mengenai kejadian lemas.