KAD sim Mobily.
KAD sim Mobily.
Iskandar Shah Mohamed


LEMBAGA Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Mobily menyediakan perkhidmatan kad SIM prabayar kepada jemaah haji negara ini bagi kemudahan menghubungi keluarga ketika berada di Tanah Suci.

Menerusi kerjasama di bawah program Sahabat Korporat TH itu, setiap jemaah haji akan diberikan satu kad prabayar sebelum berangkat menunaikan rukun Islam kelima berkenaan.

TH dalam satu kenyataan berkata, jemaah haji dikehendaki membawa kad itu dan lencana pengenalan diri bagi mengaktifkannya di Makkah serta Madinah.

"Petugas Mobily akan mengimbas jari jemaah haji di kaunter yang dibuka di setiap bangunan penginapan.

"Bagi yang ingin menggunakan kad prabayar syarikat telekomunikasi lain, pendaftaran sudah diselaraskan dengan hanya menunjukkan lencana pengenalan diri masing-masing.

“Ia bagi memudahkan lagi urusan sedia ada kerana pasport mereka akan diambil dan diserahkan kepada pihak Muassasah ketika tiba di Arab Saudi," katanya.

Menurut kenyataan itu, peraturan kerajaan Arab Saudi yang hanya membenarkan setiap jemaah haji mempunyai satu talian turut perlu dipatuhi.

“Selepas pengaktifan kad prabayar Mobily dilakukan, jemaah haji perlu menambah nilai kredit kepada akaun yang didaftarkan bagi mendapatkan 2GB (Gigabait) data percuma selama tiga hari mengikut keperluan masing-masing.

“Kiosk Mobilly di bangunan penginapan juga menyediakan perkhidmatan tambah nilai dan gantian kad sim,” katanya.

Katanya, TH dan Mobily berharap perkhidmatan itu dapat membantu jemaah haji menghubungi keluarga dan saudara mara di tanah air.

“Terdapat pelbagai pilihan kad SIM prabayar yang dijual oleh syarikat telekomunikasi lain di Arab Saudi seperti Mobily, Saudi Telecommunications Company (STC) dan Zain.

“Selain itu, bagi jemaah yang tiada telefon bimbit, Telekom Malaysia Berhad (TM) akan meneruskan perkhidmatan i-Talk yang membolehkan jemaah membuat panggilan pada kadar berpatutan,” katanya.

Dalam pada itu, TH turut mengingatkan semua jemaah haji supaya tidak membeli kad SIM prabayar daripada ejen tidak bertauliah di Terminal Haji, kawasan rehat dan rawat (R&R) atau sekitar bangunan penginapan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 1:59 PM