GURU Penolong Kanan (Hal Ehwal Murid), Yurizani Che Husin (kiri) bersama guru, Hazlina Abdul Kadir (tengah) dan Faizah Mansur menggunakan alat pengesan gas yang dipinjamkan Jabatan Alam Sekitar. FOTO Adi Safri
Izlaily Nurul Ain Hussein


JABATAN Alam Sekitar (JAS) hari ini menyerahkan alat pengesan gas ke 111 sekolah sekitar Pasir Gudang bagi membolehkan pengurusan sekolah memantau kualiti udara dan mengambil bacaan untuk direkodkan secara berterusan.

Tindakan itu sebagai langkah awal sebelum pihak industri membekalkan alat berkenaan menerusi program sekolah angkat.

Pengarah JAS negeri, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata, alat pengesan gas itu adalah bagi mengukur Volatile Organic Compounds (VOC) yang juga parameter indikator awal bagi sebarang pencemaran udara.

“Sekiranya bacaan VOC tinggi, sekolah perlu maklum pada kita untuk kita datang bawa peralatan lebih spesifik iaitu Gasmet yang boleh mengukur lebih 50 parameter.

“Kita edar alat pengesan gas ini ke sekolah supaya mereka boleh mengukur kualiti udara jika berlaku sebarang pengesanan bacaan tinggi, tindakan awal boleh dibuat sekolah apabila ada murid dan pelajar mengalami simptom.

“Hari ini kita pinjamkan alat ini kepada 111 sekolah sehingga Ahad,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Nusa Damai di Pasir Gudang, hari ini.

Wan Abdul Latiff hadir ke sekolah berkenaan bagi menyerahkan alat pengesan gas kepada sekolah dan memberi penerangan berhubung cara penggunaan alat itu.

Beliau berkata, hasil perbincangan dengan industri, pihak itu bersedia membekalkan alat berkenaan kepada sekolah.

“Perbincangan dengan industri, mereka sudah bersedia menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk semua 111 sekolah dengan mengedar dan membekalkan alat pengesan gas serta penerangan teknikal bagi penggunaan alat berkenaan,” katanya.

Biarpun JAS hanya meminjamkan alat berkenaan sehingga Ahad ini, Wan Abdul Latiff yakin semua pihak industri sudah bersedia membekalkannya secara terus dan menjangka semua sekolah memperolehnya minggu depan.

“Jika tidak sempat, JAS masih meneruskan pemantauan kualiti udara secara berterusan di kawasan Pasir Gudang,” katanya.

Menurut Wan Abdul Latiff, langkah membekalkan alat pengesan gas ke sekolah itu adalah sebagai langkah dibuat bagi industri turut bertanggungjawab membantu dalam isu pencemaran yang berlaku.

“Pasir Gudang ini terdapat pelbagai jenis industri, ada kimia, toksik dan pelbagai.

“Jadi, bila industri duduk bersama dengan komuniti di sini, maka kena ada langkah yang perlu dibuat daripada industri, perlu ada komitmen mereka termasuk cadangan membekalkan alat penapis udara kepada sekolah,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 3:19 PM