SYED Saddiq berbual bersama Najib ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Hairulazim Mahmud dan Yusmizal Dolah Aling


SEMUA mata tertumpu kepada susuk pemimpin, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang duduk berbincang dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di ruang tempat duduk lobi Parlimen, hari ini.

Perbincangan santai dan mesra antara dua pemimpin itu berkisar tentang usul pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan usia pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Kedua-duanya beredar selepas 20 minit berbincang mengenai isu berkenaan.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan ketika bercakap kepada media selepas itu berkata, pindaan itu akan mengubah landskap politik negara, khususnya membabitkan golongan muda.

Katanya, hal itu kerana sukar untuk menjangkakan pemikiran generasi muda sekali gus menjadikan politik lebih rapuh.

Syed Saddiq hari ini membentangkan usul meminda Perlembagaan menurunkan had usia mengundi kepada 18 tahun di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 5:41 PM