SHAMSUL ISKANDAR. FOTO Arkib NSTP
Siti Nor Hidayatidayu Razali


TIMBALAN Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin memaklumkan beliau akan lebih teliti untuk memilih calon Setiausaha Sulit Kanan baharu selepas ini.

Beliau berkata, ia hasil pengalaman lalu yang mengajarnya supaya menjadi lebih tekun dan teliti.

Katanya, selepas Haziq Abdullah Abdul Aziz dipecat, beliau menerima lebih 20 permohonan termasuk daripada wartawan media cetak dan elektronik.

“Permohonan ini diterima daripada mereka yang berusia antara 25 sehingga 55 tahun termasuk rakan media yang sudah bersara.

“Pengalaman lalu mengajar saya supaya lebih tekun dan teliti walaupun sebelum ini saya sudah berhati-hati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Malam Citra dan Khidmat Bakti Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) 2019 di Kota Bharu, malam tadi.

Mengulas lanjut beliau berkata, setakat ini beliau menyemak permohonan dan belum ada yang memenuhi sebagaimana dikehendaki.

“Untuk jawatan itu (Setiausaha Sulit Kanan) ia akan diberi keutamaan kepada pegawai tadbir daripada kementerian, namun peraturan tidak menghalang mana-mana pihak untuk dibawa masuk.

“Kita perlukan pegawai yang mampu memberi tumpuan penuh kerana pengalaman lepas mengajar saya lebih teliti untuk mencari calon terbaik, tetapi sekarang saya masih belum jumpa,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pemecatan Haziq Abdullah daripada parti, Naib Presiden PKR itu berkata, pemecatan itu dilakukan selepas melalui proses keadilan yang sewajarnya.

Katanya, alasan dan asas pemecatan itu sudah jelas kerana Haziq sebagai anggota parti melemparkan tuduhan terhadap pimpinan parti termasuk berkaitan kes rasuah.

“Kita tidak boleh galakkan budaya menyerang pimpinan tanpa alasan dan bukti yang kukuh kerana segala isu perlu dirungkai menerusi kaedah dalaman.

“Saya percaya proses keadilan sudah diberikan lembaga disiplin parti dan tindakan itu (pecat) adalah wajar,” katanya.

Akbar sebelum ini melaporkan, PKR membuat keputusan memecat Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah daripada parti berkuat kuasa serta-merta atas kesalahan melanggar kod tata etika parti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 8:33 AM