MELAKA 05 JULAI 2019. Dua pemilik pusat jagaan kanak-kanak dan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) masing-masing didenda RM3, 500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini, selepas didapati menjalankan pengurusan premis tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). NSTP/NUR SALIAWATI SALBERI
Nur Saliawati Salberi


DUA pemilik pusat jagaan kanak-kanak dan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) masing-masing didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, selepas didapati menjalankan pengurusan premis tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim, menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Anthony Tan Khai Hong, 38, dan Norrahayu Zainal Abidin, 35, selepas mereka mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh Anthony didapati sebagai individu yang terbabit dalam pengurusan Pusat Jagaan Kanak- Kanak AJ, didapati menjalankan pengurusan pusat jagaan tidak berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506).

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 10.30 pagi, di Jalan Taming Sari, Taman Mata Kuching, Melaka, pada 6 Disember 2018.

Manakala, Norrahayu didapati menjalankan pengurusan Taska Bijak Anakku tidak berdaftar di bawah akta sama pada 10.10 pagi di Jalan Seri Aman 1, Taman Muzaffar Shah pada 13 Disember 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh masing-masing didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Pusat Jagaan 1993 dan Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Penolong Pengarah Perundangan dan Penguatkuasaan JKM Mohd Firzami Idris bersama Pegawai Pendakwa Noor Hayati Zaman serta Noraswana Selamat, memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh masing-masing didenda RM3,500 atau empat bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda dikenakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 5:20 PM