PENUNGGANG motosikal nyaris maut apabila tercampak ke dalam longkang. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


SEORANG lelaki cedera selepas terperosok ke dalam longkang bersama motosikal yang ditunggangnya akibat terlanggar sebuah kereta di Kilometer 10.5, Jalan Lama Seremban - Port Dickson di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa, M Dhevakumar, 25, cedera pada kaki dan luka pada badan sebelum dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC 135 dalam perjalanan dari Seremban ke arah Port Dickson.

“Siasatan mendapati pemandu sebuah kereta Perodua Kenari dari arah Seremban menuju ke Port Dickson dipercayai mengubah haluan dari lorong kanan ke lorong kiri secara tiba-tiba.

“Mangsa yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melanggar bucu belakang sebelah kiri kenderaan berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori tercampak ke dalam longkang di kiri bahu jalan bersama motosikalnya.

“Mangsa cedera pada kaki dan luka pada badan dibawa ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut manakala pemandu kereta tidak cedera,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 5:30 AM