Siti A’isyah Sukaimi


“KALI pertama saya ‘naik’ haji semasa berusia 15 tahun dan masa itu, saya kata haji saya adalah haji ekonomi kerana tidak ada hotel di Makkah dan kita duduk di rumah sheikh (Arab).

“Kita kena masak sendiri, basuh baju sendiri dan perlu mengangkat air dari bawah naik ke atas rumah sheikh itu,” titah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkongsi pengalaman sewaktu menunaikan ibadah haji.

Raja Permaisuri Agong bertitah, di dalam rumah berkenaan, baginda tidur di atas lantai dan di situ juga terletaknya tempat yang digunakan untuk menggantung pakaian.

Baginda turut bertitah, sewaktu mengerjakan ibadah haji ketika itu, suasana di sekeliling Kaabah masih terdapat tanah, mimbar yang tinggi selain sedikit batu marmar di atas lantai untuk tawaf dan sa’ie.

“Kemudian pada tahun 1992, saya melakukan ibadah haji yang saya anggap ‘business class’ dan kali ini kita duduk di hotel.

“Sudah berbeza daripada haji saya yang pertama, lebih selesa sedikit, tiada ‘complaint’ (rungutan) kerana di sana kita kena sabar dengan segala dugaan yang kita hadap.

“Kali ini sudah berbeza (keadaan) di sekeliling Kaabah dan juga ada tangga boleh kita turun untuk ke telaga Zam Zam,” titahnya.

Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berkongsi pengalaman haji sewaktu majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci 1440 Hijrah/2019 di Kompleks Haji Sepang di Sepang, hari ini.

Seramai 483 jemaah terdiri daripada 200 lelaki dan 264 wanita serta 19 petugas berlepas menerusi penerbangan KT06 (XY 5658) ke Madinah jam 2.30 petang dan dijangka tiba jam 6 petang waktu Arab Saudi.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof; Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussien Qattan; Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Md Nor Md Yusof; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat.

Dalam pada itu, Raja Permaisuri Agong bertitah menceritakan, kali ketiga baginda menunaikan haji pada 2006 dan ketika itu, baginda menginap di istana terletak di atas bukit.

“Kali ketiga saya lakukan haji adalah haji ‘first class’ saya kerana saya duduk di istana. Dari rumah sheikh ke hotel seterusnya istana di atas bukit.

“Saya sudah merasa segalanya dari duduk rumah sheikh, duduk dalam khemah beramai-ramai di Arafah, dari ekonomi, ‘business class’ dan ‘first class’.

“Jadi saya amat bersyukur kerana (Allah) telah memberi saya merasai hidup dari bawah dan naik ke atas. Saya telah merasakan semua,” titahnya.

Sementara itu, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sempat berseloroh baginda menunaikan ibadah haji sebanyak tiga setengah kali.

“Apabila ayahanda saya melakukan haji pada tahun 1960, ibu saya mengandungkan saya enam bulan pada masa itu. Itulah haji saya yang setengah itu,” titahnya.

Terdahulu, Raja Permaisuri Agong bertitah memaklumkan, baginda mewakili Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tidak dapat hadir kerana gering di buku lali dan dinasihatkan doktor untuk berehat.

“Saya ingin sampaikan salam Tuanku yang turut minta maaf kerana (baginda) tidak dapat hadir pada pagi ini atas faktor kesihatan, baginda sampaikan ucapan tahniah kepada semua bakal haji yang terpilih untuk jadi tetamu Allah pada hari ini.

“Tuanku juga berharap semua jemaah haji Malaysia dapat memberi tumpuan dalam melaksanakan semua rukun dan wajib haji seperti yang dipelajari semasa kursus,” titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 1:41 PM
TUNKU Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika menyampaikan sumbangan kepada bakal jemaah haji pada program itu. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
TUNKU Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika menyampaikan sumbangan kepada bakal jemaah haji pada program itu. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
Digital NSTP Subscribe