LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


SELEPAS lebih tiga bulan diburu, suspek terakhir kes bakar kereta rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin akhirnya ditahan polis di sebuah rumah di Merbau Pulas, Kuala Ketil, dekat Kangar, awal pagi semalam.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, suspek berusia 48 tahun dikenali sebagai ‘Mee Tomoi’ ditahan jam 2 pagi.

Menurutnya, suspek ditahan di lokasi persembunyiannya, berdasarkan maklumat dan risikan polis.

“Kita turut merampas tiga telefon bimbit dan sejumlah kad SIM bagi membantu siasatan.

“Malah, hasil soal siasat, suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu bersama seorang lagi suspek yang sudah ditahan pada Mac lalu,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati suspek mempunyai 14 rekod kesalahan lampau membabitkan kes jenayah di beberapa buah negeri.

“Suspek direman selama empat hari bermula hari ini (semalam) mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan siasatan lanjut,” katanya.

Terdahulu peniaga pasar malam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar atas pertuduhan membakar kereta Mohd Asri, Mac lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Mohd Azimar Abd Razak, 36, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Empat lagi suspek dalam kes bakar kereta Mohd Asri dibebaskan dengan jaminan polis.

Kereta rasmi jenis Honda Accord kegunaan Mohd Asri dibakar pada bahagian bonet selain cermin hadapan turut dipecahkan dipercayai perbuatan khianat pada 22 Mac lalu.

Kejadian itu disedari ahli keluarganya ketika mereka melakukan persiapan untuk solat Subuh pada 6.05 pagi.

Berita berkaitan

Suspek bakar kereta Dr Maza dikenal pasti

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 2:02 PM