ANTARA individu yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah. FOTO IHSAN PDRM
Norasikin Daineh


USAHA Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menggempur aktiviti penyalahgunaan dadah di sekitar daerah ini membawa hasil apabila berjaya merampas lebih 1.5 kilogram dadah sepanjang satu minggu operasi dilaksanakan.

Operasi bermula pada 29 Jun hingga Jumaat lalu berjaya menahan 58 individu disyaki terbabit dalam pelbagai aktiviti penyalahgunaan dadah sekitar Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sepanjang operasi Ops Tapis dan Ops Sarang dilaksanakan, beberapa lokasi menjadi tumpuan iaitu di Kampung Warisan, Lembaga Padi, Kalansanan, Sembulan Lama dan pekan Inanam selain di sekitar bandaraya.

“Bagi tempoh ini, sebanyak 24 serbuan dijalankan dan seramai 58 individu berusia 17 hingga 62 tahun ditangkap. Kejayaan terbesar minggu ini adalah tangkapan yang membabitkan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, diikuti Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1)(A) akta sama.

“Jumlah keseluruhan rampasan sebanyak 1,521.75 gram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM187,762.50 mengikut harga semasa,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, serbuan itu dijalankan hasil daripada risikan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Kota Kinabalu serta maklumat awam berhubung lokasi dipercayai menjadi tempat aktiviti pengedaran dadah.

“BSJN IPD Kota Kinabalu sentiasa mempertingkatkan penguatkuasaan untuk menangkap dan mendakwa semua individu terbabit dalam penyalahgunaan dadah di daerah ini.

“Usaha ini akan diteruskan demi kesejahteraan dan ketenteraman awam. Oleh itu, kerjasama orang ramai diperlukan dengan memberi maklumat kepada polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 11:45 AM