Raja Noraina Raja Rahim


PENIAGA menyamar pegawai kastam dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, hari ini atas dua pertuduhan menipu membabitkan kerugian RM1,600.

Tertuduh Mohd Nizam Ishak, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Rahimah Rahim.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdaya Muhammad Fikri Abdul Rahim, 30, dalam urusan menjual televisyen rampasan kastam tidak wujud dan mendorong mangsa memindahkan RM700 ke dalam akaun miliknya.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan Rasah, Seremban, pada 2.34 petang 1 Februari lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Nizam didakwa memperdaya Mohamad Nazri Abdullah, 53, dalam urusan menjual set komputer lelongan kastam yang tidak wujud dan mendorong mangsa menyerahkan RM900 di sebuah restoran di Pantai, Jalan Jelebu, Seremban, pada 1 November 2018.


MOHD Nizam (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban, hari ini atas dua pertuduhan menyamar pegawai kastam dan menipu membabitkan kerugian RM1,600. FOTO Adzlan Sidek.

Bagi kesalahan terbabit, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Idora Omar manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Izwan Ishak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan itu dan menetapkan 23 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 7:04 PM