X
ROM menunjukkan keadaan air parit yang disedut untuk kegunaan harian bagi penduduk di Kampung Orang Asli Pucur,  Kahang.
ROM menunjukkan keadaan air parit yang disedut untuk kegunaan harian bagi penduduk di Kampung Orang Asli Pucur, Kahang.
Adnan Ibrahim


KLUANG: Kerosakan pada telaga tiub sejak hampir setahun lalu menyebabkan 25 keluarga membabitkan 98 penduduk di Kampung Orang Asli Pucur, Pekan Kahang di sini, terpaksa bergantung sumber air dari parit untuk kegunaan harian.

Bagaimanapun kebersihan air parit itu diragui berikutan ada aktiviti perladangan kelapa sawit, sayur-sayuran selain wujudnya sebuah kilang kelapa sawit berhampiran.

Penduduk kampung, Rom Lonjam, 32, berkata, penduduk di kampung itu tidak mempunyai pilihan berikutan telaga tiub itu tidak dapat digunakan sejak Jun tahun lalu.

“Kami mengambil inisiatif sendiri menggunakan saluran paip untuk menyalurkan air ke tangki simpanan di setiap rumah melalui pam yang dibeli hasil kutipan ramai.

“Malah kami mengadakan kutipan bagi menampung kos membeli minyak diesel bagi menghidupkan pam air ini,” katanya.

Menurutnya, kegunaan utama air adalah untuk mandi dan membasuh baju selain untuk diminum.

Menurut Rom, hakikatnya penduduk tidak tahu kepada siapa perlu mengadu berkaitan masalah kerosakan mesin pengepam air perigi tiub di kampung itu kerana sebelum ini ia di bawah pengawasan kepimpinan masyarakat setempat.

“Kami amat berharap khususnya pihak Jabatan Kebajikan Orang Asli (Jakoa) di Kluang dapat melihat maslah ini kerana kami terpaksa terus menggunakan air parit yang tidak diketahui tahap keselamatan penggunaannya ini.

“Malah ada juga beberapa kejadian kanak-kanak di sini mengalami penyakit gatal pada kulit kerana menggunakan air parit itu untuk kegunaan mandi. Walaupun ia tidak menular namun jika dibiarkan ia mampu mempengaruhi kesihatan penduduk khususnya anak-anak kecil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 7:00 AM