FOTO Hiasan FOTO Ihsan Bernama


PEMINJAM Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disenarai dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) tidak mempunyai masalah untuk membeli rumah pertama mereka.

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata, ini kerana laporan yang direkodkan oleh CCRIS tidak menyebabkan nama mereka disenaraihitamkan oleh bank sekali gus membolehkan mereka membuat pinjaman lain di institusi kewangan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kelulusan pinjaman untuk membeli rumah bergantung kepada budi bicara bank.

“Saya perlu tekankan bahawa CCRIS hanyalah satu sistem laporan, bermakna kalau ada tunggakan pinjaman pihak bank perlu membuat laporan ke dalam sistem CCRIS.

“Tetapi jika ada sebarang pinjaman yang perlu dibuat itu adalah berdasarkan budi bicara bank itu sendiri.

“CCRIS bukan satu mekanisme yang sepatutnya diguna untuk menyenaraihitamkan tapi hanya untuk makluman institusi kewangan bagi membolehkan mereka membuat penilaian sama ada permohonan pinjaman mereka layak diluluskan atau sebaliknya,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Karnival Kewangan anjuran BNM di Melaka hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin semalam, bahawa peminjam PTPTN yang disenarai dalam CCRIS boleh membeli rumah pertama tidak lama lagi.

Pengecualian berkenaan bagaimanapun hanya untuk pembelian rumah pertama dan bukan terhad untuk skim perumahan di bawah kementeriannya saja.

Inisiatif itu yang akan dilancarkan bersama skim lain untuk perumahan belia pada 18 Oktober ini dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, bagi membolehkan generasi muda memiliki rumah sendiri.

Sehubungan itu, Adnan Zaylani berkata, pihaknya bersedia untuk berbincang dengan PTPTN berhubung perkara itu dalam tempoh terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 11:01 PM