PASUKAN Caklempong ASiS akan mewakili negara ke Festival Muzik Antarabangsa Hong Kong ke-lima 2019 pada 17 hingga 24 Ogos depan.
Amirul Haswendy Ashari.


“KAMI bermula dengan tiga alat muzik pada 2008. Hasil usaha keras membuat beberapa persembahan di majlis perkahwinan, kami berjaya mengumpul lebih 10 alat muzik pada masa ini.

“Tapi sekarang kami perlukan dana sebanyak RM60,000 untuk mewakili negara ke Festival Muzik Antarabangsa Hong Kong ke-lima 2019 pada 17 hingga 24 Ogos depan,” kata Siti Soraya Ramli.

Beliau adalah guru penasihat pasukan muzik Caklempong Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur atau Caklempong ASiS.

Kisah mereka mula mendapat perhatian warganet termasuk Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang ‘retweet’ video rakaman sekumpulan pelajar bermain Caklempong di laman Twitter sejak semalam.

Siti Soraya ketika dihubungi Harian Metro berkata, Caklempong ASiS terpilih mewakili Malaysia ke festival itu selepas dinobatkan Anugerah Emas ‘Outstanding’ pada sesi pemilihan wakil negara di Sekolah Antarabangsa Nilai pada 25 Mei lalu.

“Kami satu-satunya pasukan bukan pelajar Sekolah Muzik Malaysia yang terpilih mewakili negara ke Hong Kong.

“Selain itu, penganjur memilih Caklempong ASiS untuk membuat persembahan sempena Malam Anugerah Wakil Malaysia ke Hong Kong pada 3 Ogos depan selain konsert khas pada 21 Ogos.

“Pada acara itu, kami akan berentap dengan pemuzik dari Hong Kong, Indonesia, Singapura, Korea, Jepun dan Amerika Syarikat dalam kategori World Ensemble,” katanya.

Bercakap mengenai misi mengumpul jumlah dana RM60,000, Siti Soraya berkata, mereka ada memohon sumbangan daripada individu, badan badan korporat dan organisasi kerajaan.

Beliau berkata, selain itu mereka turut membuat persembahan di majlis korporat dan ada membantu dengan menjual makanan ringan dan hasil jualan disumbang terus ke dana berkenaan.

“Setakat ini, kami berjaya mengumpul sekitar RM20,000 hasil semua usaha itu.

“Dana sedang dikumpul akan digunakan untuk menampung kos penerbangan, penginapan dan pengangkutan sepanjang enam hari berada di Hong Kong,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 12:37 AM