Dr Nur Amalina meminta rakyat Malaysia menunggu kenyataan rasmi daripada keluarga bayi itu.
Dr Nur Amalina meminta rakyat Malaysia menunggu kenyataan rasmi daripada keluarga bayi itu.
Nurul Fhatihah Zakinan


KELUARGA bayi Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin akan mengeluarkan kenyataan rasmi sebaik bayi tular ketumbuhan mulut ‘Germ Cell Tumour’ itu tiba di tanah air.

Pelatih pakar bedah, Dr Nur Amalina Che Bakri berkata, perkara itu akan dilakukan demi kebaikan dan kesihatan Ainul Mardhiah berusia 10 bulan yang masih dalam proses untuk pulih sepenuhnya.

“Ainul berisiko tinggi mendapat jangkitan dan boleh jatuh sakit jika orang ramai menunggunya di balai ketibaan di terminal lapangan terbang.

“Ini berbahaya kepada Ainul kerana dia masih kecil dan dalam proses pulih.

“Segala usaha baik yang kami buat selama ini akan sia-sia jika sesuatu yang buruk berlaku terhadap Ainul,” katanya menerusi emel kepada NSTP di Melaka semalam.

Katanya, keluarga Ainul Mardhiah sudah melalui pelbagai ujian dan rintangan demi kesihatan bayi sulung kesayangan mereka.

“Kami akan mengeluarkan kenyataan rasmi sebaik saja bayi ini tiba di tanah air,” katanya.

Penerbangan Ainul Mardhiah pulang ke tanah air, Isnin lalu terpaksa ditangguhkan berikutan kesihatan bayi itu terjejas akibat demam dan batuk, menyebabkan hospital terpaksa menahannya untuk mendapatkan rawatan semula dan tinggal lebih lama.

Menerusi laman sosial Instagram yang dikongsikan ibu bayi, Nurul Erwani, 24, semalam, Ainul sepatutnya dibenarkan pulang ke tanah air Isnin lalu 9.30 malam (waktu London) dan dijangka tiba Selasa 5.30 petang namun ditangguhkan kerana demam dan batuk.

Ainul Mardhiah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut selepas bertarung nyawa lima jam di sebuah hospital kanak-kanak di UK 10 Jun lalu.

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 10:32 AM