Antara kru bot nelayan yang ditahan dalam operasi itu. FOTO ihsan PPM
Norasikin Daineh


HASIL Operasi Bersepadu Pasukan Polis Marin (PPM) bersama Jabatan Perikanan berjaya membuat lima tangkapan kes di sekitar perairan Kudat kelmarin.

Operasi hari kedua yang bermula 7.30 pagi itu menumpukan beberapa lokasi dan membawa kepada tangkapan serta rampasan di perairan Batu Mandi, Sikuati dan Simpang Mengayau.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, operasi itu dilaksanakan hasil maklumat risikan dan pemantauan anggota Unit Risikan Marin (URM) PPM Kudat.

“Hasil operasi membawa kepada rampasan membabitkan tiga bot nelayan, 850 liter diesel, 180 liter petrol dan mata wang Filipina 657,500 Peso dipercayai mahu dibawa ke negara jiran dan kes disiasat mengikut Seksyen Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati enam kru di tiga bot berkenaan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah dan mereka ditahan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Selain itu, Mohamad Pajeri berkata, satu lagi tangkapan membabitkan sebuah bot nelayan dari Kota Kinabalu selepas didapati menjalankan aktiviti di luar kawasan dan melanggar syarat lesen.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (2) Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002,” katanya.

Katanya, semua tangkapan dan rampasan diserah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKHEP) serta Jabatan Pelabuhan Dan Dermaga Sabah (JPDS) Kudat untuk tindakan lanjut.

“Jumlah keseluruhan rampasan dan kompaun bagi lima tangkapan itu bernilai RM251,175.57,” katanya.

Terdahulu, beliau memaklumkan operasi pada hari pertama mereka melakukan pemeriksaan terhadap ikan yang dijual di Pasar Ikan Kudat dan ikan yang baharu tiba dari Pulau Banggi di Terminal Feri Kudat-Banggi.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada ikan yang dikesan diperoleh hasil daripada kaedah bom ikan.

“Bagaimanapun, PPM akan terus berusaha membanteras aktiviti jenayah di perairan Sabah termasuk aktiviti bom ikan di daerah ini,”

katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 11:30 AM