FOTO Hiasan
Sarah Zulkifli


PEREMPUAN berperwatakan lelaki atau ‘pengkid’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Petaling Jaya, hari ini, atas tuduhan menyimpan gambar dan video lucah di dalam telefon bimbit miliknya.

Tertuduh, Nurqistina Natasha Abdullah, 20, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Difahamkan, tertuduh menyimpan gambar dan video lucahnya bersama wanita lain di telefon bimbitnya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu pada 6 petang, 16 April lalu di pejabat D11 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh memohon supaya mahkamah mengurangkan wang jaminan terhadapnya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Ogos ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 3:45 PM