Nurul Anis memuat naik status menerusi Facebook miliknya.
Alias Abd Rani


“KETIKA pegang duit itu, saya rasa tebal semacam. Apabila saya lihat di belakang, ada kertas putih lalu mengoyaknya.

“Saya terkejut kerana not RM50 yang diberikan salah seorang pelanggan adalah palsu,” kata Nurul Anis Md Noor, 18, selepas ditipu pelanggan lelaki yang membeli nasi lemak ibunya di Pantai Klebang, Melaka semalam.

Kejadian berlaku 7.30 pagi ketika Nurul Anis membantu ibunya Aminah Hassan, 65, sebelum didatangi pelanggan berusia lingkungan 20-an.

“Mulanya lelaki itu membeli tiga bungkus nasi lemak berharga RM4.50 dan menghulurkan not RM50. Saya tanya dia, ada duit kecil tidak, dia jawab tiada.

“Saya perasan duit diberikan tebal tapi menjangkakan ia baru dikeluarkan dari bank. Tanpa syak wasangka, saya menghulur baki RM45.50 kepada lelaki itu.

“Lagipun ketika itu, kami hendak cepat kerana ada pelanggan lain menunggu. Kami tidak perasan pelanggan lelaki itu membayar menggunakan not RM50 palsu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Nurul Anis memuat naik status menceritakan perkara itu menerusi Facebook miliknya seterusnya menarik perhatian netizen yang meminta peniaga berhati-hati bagi mengelak kejadian sama berlaku.

Menurutnya, dia pelik kerana lelaki terbabit dengan selamba meletakkan beberapa keping not RM50 dalam raga motosikal skuter dinaikinya.

“Saya tertanya-tanya kenapa lelaki itu boleh meletakkan duit sebegitu. Rupa-rupanya barulah saya tahu, duit itu adalah palsu,” katanya sambil memaklumkan ini kejadian pertama berlaku kepada ibunya sejak berniaga nasi lemak enam tahun lalu.

Katanya, dia terkilan kerana ibunya hanya berniaga kecil-kecilan untuk menambah pendapatan keluarga.

“Pendapatan kami pun tidaklah seberapa. Ibu pun tidak berkata apa-apa selepas melihat duit diterima itu palsu. Saya berharap peniaga lain berhati-hati jika didatangi lelaki ini,” katanya.

Nurul Anis berkata, buat masa sekarang dia dan ibunya tidak bercadang membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 4:45 PM