ORANG ramai cuba membantu mangsa ketika kejadian semalam. FOTO Ihsan Pembaca.
ORANG ramai cuba membantu mangsa ketika kejadian semalam. FOTO Ihsan Pembaca.
Muhammad Apendy Issahak


PEKERJA penggantian tiang lampu jalan meninggal dunia terkena renjatan elektrik di Kilometer 16.5 Jalan Ipoh-Kampar dekat Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, Ipoh.

Kejadian 5.50 petang semalam menyebabkan Mohamad Kamil Mohamed, 28, meninggal dunia di lokasi.

Difahamkan, mangsa yang bekerja dengan syarikat swasta sudah melakukan kerja menggantikan tiang lampu di jalan berkenaan sejak Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada 6.25 petang daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng.

“Siasatan awal mendapati mangsa bersama lapan rakan sekerja memulakan tugas menggantikan tiang lampu itu sejak Selasa dan pada hari kejadian, dia dan empat rakan memasang wayar pada tiang lampu berkenaan.

“Bagaimanapun, tiba-tiba mangsa terkena arus elektrik dan tidak sempat diselamatkan rakannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan fizikal mangsa di tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kematian mangsa disahkan Penolong Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Malim Nawar.

“Mangsa yang beralamat di Padang Rengas kemudian dihantar ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat pada 8 malam tadi (semalam) dan punca kematian disahkan akibat renjatan elektrik.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 11:51 AM