Foto hiasan
Foto hiasan
Khairul Najib Asarulah Khan


NIAT baik seorang lelaki memberi pinjaman wang kepada kenalannya menjadi musibah kepadanya apabila cedera ditetak ketika mahu menuntut semua wang dalam kejadian di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam, Kuala Lumpur, semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, mangsa berusia 25 tahun cedera di kepala, mulut, lengan dan badan.

Ketua Polis Daerah Dang Wang Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, sebelum kejadian, mangsa berjumpa dengan dua kenalannya bagi menuntut kembali wang sebanyak RM1,500 dipinjam mereka.

Menurutnya, berlaku pertengkaran mulut antara sebelum suspek bertindak mengeluarkan parang dan menyerang mangsa.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa yang bekerja di kedai komunikasi itu cedera di beberapa bahagian badan.

“Kedua-dua suspek kemudiannya melarikan diri selepas orang ramai datang bagi meleraikan pergaduhan berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pihaknya kini sedang mengesan kedua-dua suspek berkenaan dan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan seseorang menggunakan senjata.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai suspek boleh menyalurkannya di balai polis berdekatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 5:19 PM