Laporan sebelum ini mengenai kebakaran kilang di Pulau indah, Klang.
Mohd Hilmie Hussin


PENEMUAN 1.5 tan gas ammonia dalam tong di sebuah kilang berhampiran lokasi kebakaran di Pulau Indah pada 5 Julai lalu, kini dalam siasatan pihak berkuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Hee Loy Sian berkata, siasatan itu dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkaitan bagi mengenal pasti mengapa begitu banyak gas terbabit disimpan di kilang berkenaan, adakah ia dibekalkan ke kilang-kilang lain.

“Siasatan juga membabitkan jumlah simpanan gas amonia itu, adakah perlu kilang terbabit menyimpan gas sebanyak itu,” katanya selepas melancarkan Kempen Bebas Plastik dan Pengguna Bijak (Program Lepak In Green) di Main Place Mall, USJ di Subang Jaya, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri kini mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menjalankan siasatan dengan mengenal pasti kilang yang mempunyai gas ammonia berhampiran kediaman penduduk.

Katanya, kilang yang menyimpan gas ammonia di kawasan penduduk akan diminta berpindah ke lokasi lain.

Pada 5 Julai lalu, tiga kilang di Pulau Indah terbakar sebelum sebuah kilang berhampiran dikesan menyimpan beberapa tong gas ammonia seberat 1.5 tan.

Penemuan gas ammonia itu mengejutkan banyak pihak kerana gas terbabit jika tersebar boleh menyebabkan kebakaran dan memberi kesan sekitar 30 kilometer.

Berita berkaitan

Kebakaran bongkar simpanan 1.5 tan ammonia

7 bomba cedera

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 6:37 PM