ZULKIFILI Abu Bakar.
Skuad Khas Harian Metro


KUALA LUMPUR: Tindakan nelayan Vietnam yang semakin agresif tidak mematahkan semangat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), sebaliknya agensi itu akan terus mempertahankan perairan negara termasuk menggunakan senjata jika keadaan memaksa.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifili Abu Bakar berkata, pihaknya tidak terkesan langsung malah penguatkuasaan akan diteruskan dengan pendekatan lebih proaktif.

“Kita akan teruskan penguatkuasaan, kalau dia (nelayan Vietnam) buat cubaan langgar lagi, kita akan pertahankan apa cara sekalipun termasuk menggunakan senjata jika keadaan membahayakan kita.

“Ini perkara biasa, malah cubaan mereka itu tidak takutkan kita,” katanya dihubungi Harian Metro, semalam.

Beliau mengulas nelayan Vietnam yang semakin agresif apabila melanggar KM Pekan milik APMM menggunakan bot mereka ketika cuba meloloskan diri daripada penguat kuasa.

“Mereka ini masih degil menangkap ikan kita, jadi apabila melihat kehadiran KM Pekan, mereka tertekan dan cuba merosakkan kapal untuk menghalang tugas penguat kuasa.

“Ia hanya cubaan mereka menakutkan kita, tetapi tidak berjaya,” katanya.

Selasa lalu, kru KM Pekan mengambil masa empat jam sebelum berjaya memintas bot nelayan Vietnam yang melanggar kapal berkenaan ketika cuba meloloskan diri.

Sebelum ini, Harian Metro secara eksklusif dalam laporan bersiri mendedahkan wujud komplot mencuri hasil sumber laut negara melalui kegiatan bot klon dan lesen ali baba.

Kegiatan yang berleluasa sejak beberapa tahun lalu dikatakan kebal daripada undang-undang Malaysia di mana ia dibantu oleh dalang rakyat Vietnam yang menetap di negara ini serta ‘orang dalam’ pihak berkuasa sendiri.

Pendedahan itu turut mendapat perhatian Dewan Rakyat yang seterusnya meluluskan Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2019, Selasa lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 5:30 AM