Bomba memadamkan kebakaran di sebuah kilang kitar semula malam tadi. FOTO Ihsan JBPM
Bomba memadamkan kebakaran di sebuah kilang kitar semula malam tadi. FOTO Ihsan JBPM
Ibrahim Isa


TIGA pekerja warga asing sebuah kilang kitar semula di Kampung Baru, Seelonh, Kulai, Johor Bahru cedera apabila longgokan tong gas petroleum cecair (LPG) dan tong gas welding terbakar serta meletup 7.30 malam tadi.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulai, Mohd Fauzi Awang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.32 malam dan sebuah jentera bersama pegawai serta lima anggota dikejarkan ke lokasi.

Katanya, apabila tiba pihaknya mendapati longgokan tong gas terbakar dengan tiga pekerja warga asing cedera.

“Kami turut mendapatkan bantuan dua jentera dengan tujuh anggota dari balai bomba dan penyelamat Skudai.

“Kebakaran berlaku di tanah lapang seluas 0.2 hektar dan tidak membabitkan bangunan.

“Kami berjaya mengawal kebakaran dari merebak dan menamatkan operasi pada 8.08 malam,” katanya.

Menurutnya, tiga pekerja asing masing-masing dua warga Pakistan dan Bangladesh lingkungan 30 hingga 35 tahun dihantar ke Hospital Kulai menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan.

Difahamkan berlaku beberapa letupan di kilang itu sebelum pasukan bomba tiba di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 10:51 AM