53 daripada 250 kilang kimia di Pasir Gudang bersetuju menjadikan 56 sekolah di kawasan itu sebagai sekolah angkat. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani


PROGRAM sekolah angkat di Pasir Gudang mendapat sambutan apabila 53 daripada 250 kilang kimia di sekitar kawasan itu menyatakan persetujuan menjadikan 56 sekolah di kawasan pencemaran sebagai sekolah angkat.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, persetujuan diperolehi hasil perbincangan JAS dan pemilik industri sejak beberapa minggu lalu.

“Sehingga kini, 53 kilang bersetuju menyertai Program Sekolah Angkat di Pasir Gudang dan ia pertambahan sembilan kilang berbanding Isnin minggu lalu (44).

“Sebanyak 56 sekolah dipilih sebagai sekolah angkat dan jumlahnya dijangka bertambah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pihaknya berharap pihak industri yang terbabit dalam program sekolah angkat itu dapat membantu membekalkan alat pengesan gas di sekolah berkenaan.

Katanya, menjadi harapan JAS apabila kilang berkenaan bersetuju menjadi ‘bapa angkat’ sesebuah sekolah, pengurusan kilang akan membekalkan alat pengukur bacaan udara atau Volatile Organic Compund (VOC) kepada sekolah di bawah pengawasan mereka.

“Kami juga berharap pengurusan sekolah dapat membantu memantau kualiti udara di kawasan sekolah masing-masing dan jika bacaan VOC tak stabil, tindakan awal boleh diambil.

“JAS akan terus membuat pengukuran dan menggunakan alat membabitkan lebih banyak parameter,” katanya.

Mengulas bilangan kilang yang menyatakan persetujuan masih rendah berbanding 250 kilang kimia di Pasir Gudang, Wan Abdul Latiff berkata, baki pengurusan kilang masih dalam proses untuk mendapatkan persetujuan pihak atasan syarikat.

“Rundingan berjalan lancar dan kerjasama daripada pihak industri untuk melaksanakan program sekolah angkat tidak berdepan masalah.

“Baki kilang yang masih belum menyertai program itu sebab mereka masih menunggu persetujuan pihak atasan dan memerlukan masa.

“Ini kerana hanya premis saja beroperasi di Pasir Gudang dan pentadbiran kebanyakan di Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, isu sekolah angkat itu dibawa pada sesi ‘townhall’ bersama Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

Isnin minggu lalu, hanya 44 daripada 250 kilang kimia di sekitar Pasir Gudang menyatakan persetujuan menjadikan sekolah di kawasan pencemaran sebagai sekolah angkat manakala baki kilang lain masih berbincang dengan pihak berkuasa.

Buat masa ini, semua 111 VOC disewa MESTECC dan diagihkan kepada 111 sekolah di sekitar Pasir Gudang bertujuan membolehkan pengurusan mengambil bacaan kualiti udara secara berkala dan mengambil tindakan sesuai jika kejadian tidak diingini berlaku.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 2:40 PM