FOTO hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PERUBAHAN tarif gas asli diumumkan bukan kegunaan domestik sebaliknya untuk kegunaan industri sahaja.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam laman Facebook rasminya berkata, ramai pengguna keliru sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan mereka.

“Pengguna tidak perlu resah atau panik dengan berita mengenai perubahan tarif gas asli yang diumumkan kerana yang dimaksudkan bukanlah kegunaan domestik (pengguna kediaman isi rumah).

“Gas yang menjadi kegunaan domestik oleh pengguna kediaman ialah gas cecair petroleum (LPG) dijual harga runcit dalam tong silinder kuantiti berat 10 kilogram (kg), 12 kg dan 14 kg,” katanya.

Menurutnya, gas memasak LPG digunakan oleh pengguna kediaman untuk tujuan memasak.

“Untuk makluman pengguna, bekalan gas memasak LPG dikawal secara bekalan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan harga pengeluar, borong dan runcit Gas Memasak LPG di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Gas memasak LPG 10 kg berharga RM19, 12 kg (RM22.80) dan RM26.60 untuk 14 kg.

“Harga maksimum gas ini tidak termasuk kos penghantaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 4:04 PM