ABDUL Hamid memakaikan pingat kepada penerima, Mohamed Asheraf Abu Bakar ketika Majlis Istiadat Penganugerahan PJPN di Batalion 4 PGA Semenyih. FOTO AZHAR RAMLI
Nurul Hidayah Bahaudin


KETUA Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador bertekad akan mengambil tindakan terhadap pegawainya sekiranya kegiatan perjudian masih lagi berleluasa.

Menurut Abdul Hamid, setakat ini beliau berpuas hati dengan tindakan diambil anak buahnya dalam membanteras kegiatan itu.

“Saya nampak keikhlasan anak buah dalam perkara ini apabila mereka mengambil tindakan menerusi serbuan berganda di seluruh negara, sekali gus menunjukkan perkembangan luar biasa.

“Malah, saya berpuas hati kerana arahan diberikan kepada anak buah dipatuhi. Namun, jika kegiatan ini masih lagi berleluasa, saya sendiri akan ambil tindakan bawah radar termasuk sebarkan kepada pihak media dan menurunkan pangkat individu terbabit,” katanya pada sidang media selepas Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) di Batalion 4 Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Semenyih, hari ini.

Terdahulu, Abdul Hamid memakaikan pingat kepada 231 pegawai dan anggota pelbagai pangkat bagi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

Abdul Hamid berkata, pihaknya bercadang memperketatkan undang-undang untuk membanteras kegiatan judi terutama aktiviti perjudian atas talian.

“Kini, kami di peringkat perbincangan dengan pihak polis dari beberapa negara termasuk Singapura, Hong Kong dan China yang turut terjejas akibat kegiatan perjudian yang bertapak di negara ini.

“Dalam perbincangan ini juga, kami akan mendapatkan maklum balas daripada pihak polis dari negara serantau. Buat masa ini, perbincangan masih berlangsung dan perkara itu akan dibawa kepada pihak kerajaan untuk dipertimbangkan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai saranan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang meminta polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tahun lalu kononnya bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dirompak kerajaan terdahulu, beliau berkata pihaknya akan mengambil tindakan lanjut terhadap laporan dibuat Khairy.

“Kami akan siasat dan mengambil tindakan lanjut dalam perkara ini. Namun, masih belum diputuskan sama ada polis akan memanggil pihak berkaitan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 2:41 PM