Kebakaran rumah di Tanjong Bungah, Georgetown hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Hadzlihady Hassan


TINDAKAN pantas dan berani lelaki memberhentikan kereta serta meluru masuk ke rumah yang sedang terbakar menyelamatkan wanita lumpuh daripada rentung dalam kejadian di Lorong Lembah Permai, Tanjong Bungah, Georgetown hari ini.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, lelaki berkenaan secara kebetulan melalui kawasan terbabit sebelum melihat tingkat atas di dua rumah sedang terbakar.

Dia kemudian terus memberhentikan keretanya di tepi jalan dan masuk ke sebuah daripada rumah terbabit sebelum berjaya membawa keluar wanita lumpuh.

Lelaki itu dibantu anggota bomba yang tiba tidak lama selepas itu dan dia kemudian meninggalkan lokasi kejadian.

Difahamkan, ketika kejadian wanita itu tinggal berseorangan kerana ahli keluarga lain berada di hospital melawat suaminya yang sakit.

Pegawai Operasi, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal, Penolong Kanan Penguasa Bomba Ridzuan Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan 11.53 pagi berhubung kebakaran itu.

“Sebaik tiba, kita dapati dua rumah teres dua tingkat terbakar di tingkat atas dan api berjaya dikawal jam 12.33 tengah hari.

“Kebakaran tidak membabitkan kemalangan jiwa dan kita turut berterima kasih kepada orang awam yang membantu mengeluarkan seorang mangsa yang ketika itu berada dalam rumah,” katanya.

Menurutnya, setakat ini punca kebakaran dan juga jumlah kerugian masih belum diketahui.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 3:54 PM