Dziyaul Afnan Abdul Rahman


POLIS mengesahkan lelaki yang bakar kereta rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dikenali ‘Mee Tomoi’ adalah individu utama dalam kejadian melibas Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JAIPs), Dr Hazman Hassan dengan pedang samurai September lalu di kediamannya.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, perkara itu disahkan selepas mendapat pengakuan suspek dan proses pengecaman suara daripada Dr Hazman minggu lalu.

“Setakat ini Mee Tomoi mengaku dia menerima upah daripada pihak tertentu untuk melakukan jenayah terbabit (tetak).

“Dia masih dalam tahanan reman polis bagi kes samun sehingga esok, kemudian kita akan dapatkan perintah tahanan reman bagi siasatan terhadap kes mencederakan Pengarah JAIPs mengikut Seksyen 326 dan 394 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis hari ini.

Tahun lalu Dr Hazman berdepan detik cemas apabila dilibas pedang samurai di pipi kirinya selepas rumahnya di Kampung Guru, Kangar, dirompak pada malam 2 September.

Dalam kejadian 11 malam itu, Dr Hazman baru saja pulang selepas menghadiri ceramah dan tidak menyedari kediamannya dipecah masuk sebelum dia dikatakan bertengkar dan diserang individu terbabit.

Mengulas lanjut berhubung kejadian bakar kereta rasmi Mohd Asri, Noor Mushar mengesahkan Mee Tomoi diarahkan pihak tertentu untuk mengancam keselamatan Mufti Perlis itu.

“Bagaimanapun suspek tidak sampai hati (mengancam keselamatan Mohd Asri) di samping pihak berkenaan tidak menepati janji dalam soal pembayaran upah kepadanya.

“Jadi saya rasa untuk mendedahkan maklumat yang lebih lanjut adalah tidak sesuai dan kita tunggu sehingga proses siasatan selesai,” katanya.

Sebelum ini, Mee Tomoi ditahan ketika bersembunyi di sebuah rumah di Merbau Pulas, Kuala Ketil, Kedah, pada 4 pagi 6 Julai lalu.

Duda dan penganggur berusia 48 tahun itu kemudian dibawa ke Perlis dan direman empat hari mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan atas kesalahan berlaku khianat dengan api.

Berita berkaitan

Mee Tomoi dah kena tangkap

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 4:02 PM