BAMIMI (kanan) bersama Richelle yang disahkan mengidap kanser. FOTO IHSAN UMS
BAMIMI (kanan) bersama Richelle yang disahkan mengidap kanser. FOTO IHSAN UMS
Suzianah Jiffar


SEORANG pensyarah wanita Universiti Malaysia Sabah (UMS) sanggup mencukur rambut bagi memberi sokongan kepada seorang penuntutnya yang menghidap kanser tulang tahap tiga.

Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Dr Bamini KPD Balakrishnan, 39, mengambil keputusan membotakkan kepala bagi melahirkan rasa simpati terhadap Richelle Hii Hua Yin, 20, yang dikesan menghidap kanser itu hujung Februari lalu.

“Pada awalnya, penuntut ini dikesan menghidap kanser tulang di bahagian lutut, namun sebelum menjalani rawatan kemoterapi yang pertama pada awal Mac, pemeriksaan dilakukan mendapati sel kanser merebak ke paru-paru.

“Pada 16 Julai lalu, dia menjalani rawatan kemoterapi kali kelapan dan dua lagi rawatan susulan. Kita berharap dia beransur sembuh dan pulih,” katanya di Kota Kinabalu, hari ini.

Bamini berkata, sebenarnya ada pelbagai cara menunjukkan kebaikan dan sokongan kepada Richelle, tetapi Ketua Program Pemasaran itu lebih memilih mencukur rambut bagi menunjukkan rasa kebersamaannya terhadap gadis berasal dari Beluran itu.

“Saya mahu penuntut ini tahu kita semua ada untuknya dan tidak bersendirian melalui saat-saat sukar terutama dalam menanggung kesakitan dialami.

“Tiada niat mencari populariti, saya cuma mahu memberikan galakkan dan keberanian untuk terus kekal positif.

“Saya juga ingin mengajak rakan dan orang ramai mendoakan kesembuhan penuntut ini,” ujarnya.

Beliau berkata, Richelle adalah penuntut aktif dalam kokurikulum dan baik dalam kurikulum.

“Dia berjaya memperoleh keputusan cemerlang pada peperiksaan semester satu dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.6 dan adalah anggota Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 4:45 PM